SEREMBAN: TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan empat syarikat yang melabur di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Empat syarikat berkenaan ialah GoBuilders Netsoft Sdn Bhd, Kolej Epsom di Malaysia (Kumpulan Educ8 Sdn Bhd), Malindo Airways Sdn Bhd (Batik Air) dan Meta Legends Sdn Bhd.
Perjanjian itu membabitkan pembelian lot tanah perindustrian dan pertanian di Bandar Enstek yang membabitkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM70.25 juta.
Kolej Epsom di Malaysia melalui Educ8 Group Sdn Bhd memperoleh 30 ekar tanah di sebelah 50 ekar sedia ada untuk rancangan pembesaran masa depan kampus manakala Meta Legends, pemaju komersial membeli 2.254 ekar tanah pertanian untuk pembangunan komersial masa hadapan.
Malindo Airways pula membeli tanah seluas 4.134 ekar di dalam perbandaran perindustrian Fasa 1 techpark@enstek untuk cadangan latihan dan kompleks katering.
Sementara itu, syarikat teknologi logistik rantaian sejuk, GoBuilders Netsoft membeli seluas 13.43 ekar tanah dalam Fasa 2 techpark@enstek.
Pengerusi TH Prop, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf, berkata urusan jual beli tanah itu merupakan satu pencapaian penting bagi Bandar Enstek selepas kumpulan berjaya melancarkan Fasa 3 techpark@enstek pada November tahun lalu.
“Sehingga kini, techpark@enstek Fasa 1 telah dijual sepenuhnya dan Fasa 2 sebanyak 91.5 peratus telah digunakan.
“Bandar Enstek pantas menjadi lokasi pilihan nama-nama pelabur besar seperti Kolej Epsom, Coca Cola, Mahsuri Foods, Purecircle Sdn Bhd, Farm Fresh Berhad, Kellogg Malaysia, Ajinomoto Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Sdn Bhd, Mac Food Services dan banyak lagi kerana lokasinya yang strategik.
“Penambahan tiga pelabur baharu ini akan menjadi satu rahmat pembangunan ekonomi kawasan itu khususnya dan Negeri Sembilan secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Menandatangani SPA itu di sini, semalam.
Majlis disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut hadir, ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Kartini berkata, secara terkumpul, kesemua syarikat berkenaan dijangka akan membawa masuk nilai pelaburan lebih RM420 juta pada masa hadapan dan berupaya mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan di Bandar Enstek.
Sementara itu, Aminuddin pada sidang media sejurus selepas majlis itu berkata, pembabitan TH Prop dalam membawa masuk pelaburan melalui Bandar Enstek dan techpark@enstek terutamanya, adalah penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.
Beliau berkata, penyertaan pelabur ke Bandar Enstek akan dapat membantu meningkatkan tahap pembangunan pendidikan dan sosio-ekonomi di kawasan berkenaan.
Sumber: Berita Harian