NILAI: Taman Perindustrian Bandar Teknologi Enstek atau Techpark@Enstek telah mengumpul pelaburan melebihi RM4 bilion dan menjana lebih 1,500 pekerjaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jumlah pelaburan untuk projek industri makanan dan minuman di taman perindustrian itu membabitkan pelabur daripada luar negara dan tempatan.
“Techpark@Enstek berjaya menarik dan menjadi pilihan pelabur khususnya dalam industri makanan dan minuman.
“Antaranya adalah Coca-Cola Bottles Sdn Bhd (dari Amerika Syarikat), Kellogg’s Malaysia (Amerika Syarikat), Ajinomoto Bhd (Jepun), Sunshine Bread Sdn Bhd (Singapura) dan Purecircle Sdn Bhd (Armenia).
“Manakala, syarikat baharu yang sedang dalam proses pembinaan pula adalah Dutch Lady Milk Industries Bhd (Belanda), Macfood Services Sdn Bhd atau Tyson Group (Amerika Syarikat) dan Farm Fresh Milk Industries,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pencah tanah kilang pembuatan Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri), bernilai lebih RM250 juta di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, Techpark@Enstek adalah kawasan industri dan taman teknologi hab halal yang menawarkan nilai tambah yang membolehkan sesuatu produk bersaing di peringkat global.
Sumber: Berita Harian